Meta Bright, firma China bangun hab farmaseutikal di Malaysia

Ahmad Zahid menyaksikan MoU antara MBGB dan ChemPartner di Shanghai, China - Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid menyaksikan MoU antara MBGB dan ChemPartner di Shanghai, China - Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Meta Bright Group Bhd (MBGB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ChemPartner Pharmatech Co Ltd untuk membangunkan hab farmaseutikal dan bioteknologi di Malaysia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata hab itu akan menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan pengkomersilan produk farmaseutikal serta kemajuan bioteknologi.

"Inisiatif ini mewakili kerjasama perintis dengan ChemPartner, sebuah syarikat tersenarai terkemuka China untuk menubuhkan hab seperti itu di Malaysia," katanya.

MBGB berkata, ChemPartner, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham Shenzhen dengan permodalan pasaran kira-kira RM1.6 bilion adalah syarikat terkenal kerana menawarkan perkhidmatan bersepadu yang komprehensif, termasuk kimia, biologi, farmakologi, metabolisme ubat, farmakokinetik dan toksikologi.

"Di bawah MoU itu, MBGB akan mengenal pasti tapak strategik untuk membina hab itu dan menyelia pembinaan dan pembangunan makmal, kemudahan pembuatan serta ruang pejabat/peruncitan.

"Selain itu, MBGB komited untuk melaksanakan amalan lestari alam sekitar untuk meminimumkan kesan ekologi dan menggalakkan inisiatif hijau (mesra alam sekitar)," katanya.

Syarikat itu berkata, ChemPartner akan mencari dan memudahkan peluang pelaburan untuk menyokong pertumbuhan hab, melibatkan diri dengan syarikat farmaseutikal dan bioteknologi China, institusi akademik dan organisasi penyelidikan untuk memupuk kerjasama.

Pengarah Urusannya, Lee Chee Kiang, berkata projek berkenaan akan membezakan syarikat daripada pembangunan yang biasa dilakukan kerana ia melibatkan mewujudkan pasaran khusus dengan peneraju dalam sektor farmaseutikal dan bioteknologi.

"Berbeza dengan projek pembangunan tradisional, kami menguruskan projek yang canggih.

"Kami yakin usaha niaga ini akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam pasaran dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih luas," katanya.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Shanghai, China.

-BERNAMA