Meta Bright Energy beli 51 peratus pegangan saham Bumidotearth
KUALA LUMPUR: Meta Bright Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Meta Bright Energy Sdn Bhd, membeli pegangan ekuiti 51 peratus dalam Bumidotearth Sdn Bhd, sekali gus memperoleh kepentingan kawalan dalam syarikat itu.
Dalam kenyataan hari ini, Meta Bright menjelaskan kedudukan pihaknya dalam sektor tenaga dan infrastruktur diperkukuh menerusi pembelian itu, dengan menyepadukan keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) khusus merentas kitar hayat projek.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim, berkata usaha niaga itu menandakan peralihan strategik bagi platform tenaga kumpulan, membolehkan pihaknya mengintegrasikan keupayaan pelaksanaan teknikal serta mempercepat pengembangan di seluruh negara.
"Kecekapan tenaga kini semakin menjadi keutamaan operasi bagi pemilik bangunan komersial yang menghadapi peningkatan kos elektrik.
"Apabila membawa masuk teknologi yang terbukti dan kepakaran EPCC dalaman Bumidotearth, Meta Bright kini berada pada kedudukan unik untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh tanpa perbelanjaan modal," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menggabungkan pembiayaan modal, teknologi proprietari dan pelaksanaan jangka masa panjang untuk membangunkan perniagaan penyelesaian tenaga yang menjana pendapatan berulang tinggi serta margin tinggi.
Menurut syarikat itu, pembelian tersebut memberikan kebolehlihatan pendapatan berkualiti tinggi secara serta-merta.
Bumidotearth menumpukan penggunaan perkakasan pemacu kawalan dinamik proprietari dan papan pemuka Internet Benda (IoT) enerlytics.
Syarikat itu merekodkan nilai perolehan kontrak aktif melibatkan 10 projek yang sedang dilaksanakan bernilai RM4.1 juta dan mempunyai rekod pelaksanaan yang baik di lokasi utama termasuk pusat beli-belah, hospital, hotel dan pasar raya.
Bagi masa hadapan, platform tersebut mempunyai rancangan projek yang dikenal pasti bernilai lebih RM50 juta, menyasarkan pelanggan institusi utama dan pengendali komersial terkemuka, menurut kumpulan itu.