Anak syarikat Meta Bright dapat kemudahan perbankan RM43.85 juta
KUALA LUMPUR: Meta Bright Group Bhd (MBGB) melalui anak syarikatnya, Expogaya Sdn Bhd (EXPO) dan Jesselton Concrete Sdn Bhd (Jesselton Concrete) memperoleh kemudahan perbankan berjumlah RM43.85 juta daripada Hong Leong Bank Bhd (HLB) bagi meningkatkan pertumbuhan segmen perniagaan konkritnya.
MBGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ini akan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sektor konkrit sebagai pembekal campuran siap (konkrit) terbesar di Sabah selain membolehkannya menyokong keperluan infrastruktur negeri yang berkembang dengan pesat dan berkesan.
"Sokongan kewangan tambahan ini membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk konkrit di Sabah, didorong oleh projek infrastruktur berskala besar yang digariskan dalam Belanjawan 2025.
"Dengan kemudahan ini, kami bersedia untuk mengukuhkan peranan kami sebagai pembekal konkrit utama rantau ini dan menyediakan bahan penting untuk pembangunan Sabah," kata Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik MBGB, Derek Phang Kiew Lim.
Dalam pada itu, syarikat itu berkata kemudahan itu ditetapkan untuk memacu pengembangan kapasiti operasi untuk EXPO dan Jesselton Concrete, memudahkan pemerolehan jentera canggih, memastikan modal kerja yang konsisten dan menyokong pengembangan projek untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap bahan binaan di Sabah.
Kemudahan perbankan berjumlah RM30.85 juta yang diperuntukkan kepada EXPO, anak syarikat MBGB yang dimiliki sebanyak 70 peratus terdiri daripada kemudahan sewa beli industri berjumlah RM5 juta, kemudahan kontrak pertukaran hadapan berjumlah RM2.5 juta dan RM23.35 juta lagi dalam pelbagai kemudahan perbankan.
Sementara itu, anak syarikat milik penuh EXPO, Jesselton Concrete pula memperoleh kemudahan sewa beli industri berjumlah RM1 juta dan RM12 juta lagi dalam pelbagai kemudahan kredit daripada HLB.
-BERNAMA